Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu
From
Wikipedia
Jump to: navigation, search
Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa
yang dibentukkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia II. Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia. Matlamat-matlamat utamanya, sebagaimana yang ditetapkan dalam
Piagamnya, adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat kepada undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.
PBB telah ditubuhkan semata-mata
untuk menggantikan Liga Bangsa-bangsa yang telah dibubarkan setelah gagal menghalang perang dunia terkini. Ibu
pejabat asal PBB terletak di San Francisco, tetapi kini telah dipindah ke New York pada tahun 1946.
Jadual isi kandungan
[sorok]
|
Piagam PBB
Berikut ialah
mukadimah bagi Piagam PBB:
KAMI RAKYAT PERTUBUHAN
BANGSA-BANGSA BERSATU MENENTUKAN
- untuk
menyelamatkan generasi-generasi yang berikut daripada kesengsaraan peperangan, yang dua kali dalam penghidupan kami, telah
membawa kesedihan yang tidak terkatakan kepada manusia, dan
- untuk
menegaskan semula keyakinan kepada hak-hak asasi manusia, kepada maruah dan nilai manusia, kepada hak-hak kesamarataan lelaki
dan perempuan serta negara-negara besar dan kecil, dan
- untuk
mewujudkan keadaan yang mana keadilan dan rasa hormat kepada kewajipan yang tertimbul daripada persetiaan-persetiaan dan sumber
undang-undang yang lain dapat dipeliharakan, dan
- untuk
mempromosikan kemajuan sosial dan taraf hidup yang lebih baik dalam kebebasan yang lebih luas,
DAN BAGI TUJUAN
INI
- akan
mengamalkan toleransi dan hidup bersama-sama dalam keamanan dengan satu sama lain sebagai jiran-jiran yang baik, dan
- akan
menyatukan kekukuhan kami untuk memeliharakan keamanan dan keselamatan antarabangsa, dan
- akan
memastikan, melalui penerimaan prinsip-prinsip dan institusi kaedah-kaedah, bahawa kuasa bersenjata tidak akan digunakan,
kecuali untuk kepentingan umum, dan
- akan
menggunakan jentera antarabangsa bagi mempromosikan kemajuan ekonomi dan sosial untuk semua manusia,
TELAH MEMBUAT
KETETAPAN UNTUK MENGGABUNGKAN USAHA KAMI SUPAYA DAPAT MENCAPAI MATLUMAT INI.
SEJARAH
Tempat persidangan PBB
Istilah "Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu" ("United Nations") dicipta oleh Franklin D. Roosevelt sewaktu Perang Dunia II berlangsung untuk merujuk kepada Pihak Berikat
yang terdiri daripada dari 26 negara. Nama ini digunakan secara rasmi buat pertama kali pada 1 Januari 1942 dalam "Pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu". Pengisytiharan
ini bertujuan untuk mengikat ahli-ahli Pihak Berikat kepada prinsip-prinsip Piagam Atlantik serta untuk menerima sumpah daripada ahli-ahlinya supaya tidak menuntut
keamanan daripada Kuasa Paksi. Selepas pengistytiharan itu, Pihak Berikat menggunakan nama
"Angkatan Pertempuran PBB" untuk merujuk kepada perikatan mereka.
Gagasan untuk PBB telah diperincikan
dalam pengisytiharan-pengisytiharan yang ditandatangani dalam persidangan-persidangan Pihak Berikat di Moscow, Cairo dan Tehran sewaktu masih berperang pada tahun 1943. Dari Ogos sehingga Oktober 1944, wakil-wakil daripada Perancis, Republik China, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet bertemu untuk memperincikan rancangan-rancangan di Estet Dumbarton Oaks,
Washington, DC. Perbincangan ini dan perbincangan yang kemudian menghasilkan
cadangan-cadangan yang menggariskan tujuan-tujuan pertubuhan itu, keahlian dan alat-alatnya, serta pengurusan untuk memeliharakan
keamanan dan keselamatan antarabangsa serta kerjasama ekonomi dan sosial antarabangsa. Cadangan-cadangan ini telah dibincangkan
dan diperdebatkan oleh kerajaan-kerajaan dan rakyat-rakyat sejagat.
Pada 25 April 1945, "Persidangan PBB tentang Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa" bermula di
San Francisco. Selain daripada kerajaan-kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, termasuknya Kelab Lions Antarabangsa, telah dijemput untuk membantu menggubal piagam. 50 negara
yang menghadiri persidangan ini menandatangani "Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu" dua bulan kemudian pada 26 Jun. Poland
tidak menghadiri persidangan itu, tetapi satu tempat telah diuntukkan kepadanya, dan ia kemudian menandatangani piagam itu.
Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada 24 Oktober 1945, selepas Piagamnya telah diratifikasi oleh kelima-lima ahli tetap Majlis
Keselamatan, iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Kesatuan Soviet, Perancis, Republik China serta kebanyakan daripada 46
penandatangan yang lain.
Perhimpunan Agung pertama
yang diadakan di Rumah Church, London, United Kingdom pada 10 Januari 1946 disertai oleh 51 negara. Pada April 2004, sebanyak 191 negara
telah menyertai pertubuhan ini.
IBU PEJABAT
Ibu pejabat PBB di New York.
Bangunan ibu pejabat PBB
terkini dibina di sebelah Sungai East (East River), New York City pada tahun 1949. Bagaimanapun, bangunan ini bukannya hak milik Amerika
Syarikat. Ia dibina di atas tanah yang dibeli daripada John D. Rockefeller, Jr. dengan derma sebanyak AS$8.5 juta, dan direka bentuk oleh sepasukan arkitek
antarabangsa, termasuknya Le Corbusier (Perancis) yang termasyhur, Oscar Niemeyer (Brazil), dan wakil-wakil daripada banyak negara yang lain. Pasukan
itu diketuai oleh Wallace K. Harrison, pengetua Harrison & Abramovitz (NYC).
Ibu pejabat PBB di New York
dibuka secara rasmi pada 9 Januari 1951. Sedangkan ibu pejabat PBB yang utama ditempatkan di New York, terdapatnya
agensi-agensi utama yang terletak di Geneva, Hague, Vienna, Montreal, Bonn, dan tempat-tempat yang lain. Alamat ibu pejabat PBB ialah
760, United Nations Plaza, New York, NY 10017, USA.
Oleh sebab bangunan utama
PBB telah lama, PBB adalah dalam proses mengubah suai serta memperbesar bangunan ini. Untuk kegunaan sementara sewaktu, sebuah
ibu pejabat yang direka bentuk oleh Fumihiko Maki telah dibina di antara Jalan Ke-41 dan Jalan Ke-42 (41st
dan 42nd Street).
Struktur organisasi
Piagam PBB menguntukkan
enam alat yang utama, iaitu:
Bagaimanapun, terdapatnya
juga banyak agensi khas untuk tujuan-tujuan yang tertentu. Untuk nama agensi-agensi PBB yang lain, sila lihat bahagian: Senarai badan-badan PBB yang lain.
Perhimpunan Agung
Perhimpunan Agung
PBB (GA) terdiri daripada kesemua ahli-ahli pertubuhan ini dan bertemu setiap tahun di bawah seorang presiden yang dipilih
daripada wakil-wakilnya.
Sebagai alat
PBB tunggal yang diwakili oleh kesemua ahli, Perhimpunan ini bertindak sebagai forum untuk ahli-ahlinya membincangkan persoalan
undang-undang antarabangsa serta membuat keputusan tentang pengendalian pertubuhan ini.
Majlis Keselamatan
Majlis Keselamatan
UN merupakan alat yang paling berkuasa dalam PBB. Ia bertanggungjawab kepada pemeliharaan keamanan dan keselamatan antara
negara-negara. Sedangkan alat-alat PBB yang lain hanya membuat cadangan kepada kerajaan ahli-ahli, Majlis Keselamatan mempunyai
kuasa di bawah Piagam PBB untuk memutuskan mana satu kerajaan ahlinya harus melaksanakan keputusannya.
Keputusan-keputusan
Majlis Keselamatan digelarkan "Ketetapan Majlis Keselamatan PBB". Ahli-ahli Majlis Keselamatan bergilir-gilir memegang jawatan
pengerusi setiap bulan.
Majlis Ekonomi dan Sosial
Majlis Ekonomi
dan Sosial (ECOSOC) PBB membantu Perhimpunan Agung untuk mempromosikan kerjasama dan perkembangan ekonomi dan sosial antarabangsa.
ECOSOC mempunyai 54 ahli yang dipilih oleh Perhimpunan Agung untuk tempoh tiga tahun. Walaupun setiap ahli PBB berlayak untuk
dipilih, ahli-ahlinya sentiasa menyokong ahli-ahli daripada negara "Dunia Pertama".
Presiden ECOSOC dipilih untuk
tempoh satu tahun daripada kalangan ahlinya yang merupakan kuasa kecil ataupun tengah. ECOSOC bertemu setiap tahun pada bulan
Julai untuk sidang selama empat minggu. Sejak 1998, ia telah mengadakan lagi sebuah mesyuarat pada setiap April untuk bertemu
dengan menteri-menteri kewangan yang mengetahui jawatankuasa utama dalam Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarbangsa (IMF).
ECOSOC berfungsi
dengan cara yang serupa dengan alat-alat PBB yang lain, termasuknya mengumpul maklumat, menasihatkan ahli-ahli negara, dan
membuat cadangan. Tambahan pula, ECOSOC adalah dalam kedudukan yang baik untuk memberikan polisi kepaduan dan menyeleraskan
fungsi-fungi badan-badan subsidiari PBB yang bertindih; adalah dalam peranan ini bahawa ia amat giat.
Majlis Peramanahan
Majlis Peramanahan PBB telah
ditubuhkan untuk membantu memastikan bahawa wilayah-wilayah bukan perintah diri ditadbirkan melalui penjagaan kepentingan
penduduk-penduduk serta keamanan dan keselamatan antarabangsa. Kini, kesemua wilayah amanah ini — kebanyakannya merupakan
mandat Liga Bangsa-bangsa ataupun wilayah yang diambil daripada negara-negara yang ditewaskan pada akhir Perang Dunia II —
telah memperoleh kerajaan sendiri ataupun kemerdekaan, baik sebagai negara tersendiri, mahupun melalui penggabungan dengan
negara jiran yang merdeka. Palau merupakan wilayah yang terakhir, dan telah menjadi ahli PBB
pada Disember 1994.
Selepas misinya
telah siap, Majlis Peramahan menggantungkan operasinya pada 1 November 1994, dan walaupun ia masih wujud pada kertas, penghapusannya
yang rasmi memerlukan penyemakan Piagam PBB. Bagaimanapun, pada Mac 2005, Setiausaha Jeneral Kofi Annan mencadangkan reformasi
yang meluas, termasuknya penghapusan Majlis Peramanahan.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (dikenali dalam bahasa basahan sebagai "Mahkamah Dunia" atau ICJ} merupakan alat kehakiman yang utama untuk PBB.
Ia ditempatkan di Peace Palace, Hague, Belanda.
Ditubuhkan pada tahun 1945,
Mahkamah ini merupakan waris kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Mahkamah ini harus tidak dikeliru dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (Belgium) yang juga mempunyai kuasa "sejagat". Bahasa Inggeris
dan bahasa Perancis merupakan bahasa rasminya.
Fungsi-fungsi
utamanya adalah untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang yang diserahkan oleh ahli-ahli negara serta untuk memberi nasihat
tentang soalan-soalan undang-undang yang diserahkan oleh alat-alat dan agensi-agensi antarabangsa yang diberi kuasa. Bilangan
keputusan yang dibuat oleh ICJ masih tidak banyak, tetapi terdapatnya kesanggupan yang lebih besar untuk menggunakan Mahkamah
ini sejak tahun-tahun 1980-an, khususnya di kalangan negara-negara membangun. Bagaimanapun, Amerika Syarikat telah menarik
diri daripada bidang kuasa wajib pada tahun 1986, dan kini hanya menerima keputusan mahkamah mengikut budi bicaranya.
Sekretariat
Sekretariat PBB
diketuai oleh Setiausaha Jeneral yang dibantu oleh sekumpulan kakitangan awam antarabangsa. Piagam PBB mensyaratkan bahawa
kakitangannya dipilih daripada kawasan-kawasan yang meluas di seluruh dunia. Setiausaha Jeneral seorang diri sahaja bertanggungjawab
kepada pemilihan kakitangan.
Sekretariat PBB
membekalkan kajian, maklumat dan kemudahan yang diperlu oleh badan-badan PBB untuk mesyuarat mereka. Ia juga melaksanakan
tugas yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan, Perhimpunan Agung, Majlis Ekonomi dan Sosial, dan badan-badan PBB yang lain.
Tugas-tugas Setiausaha Jeneral termasuk membantu menyelesaikan pertikaian antarabangsa, mentadbirkan operasi penjagaan keamanan,
mengatur persidangan antarabangsa, mengumpul maklumat tentang pelaksanaan keputusan-keputusan Majlis Keselamatan serta berunding
dengan kerajaan ahli-ahlinya terhadap pelbagai langkah yang dimulakan oleh PBB.
Kegiatan-kegiatan
Rencana
utama: Kegiatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
Kegiatan-kegiatan PBB terdiri daripada 7 bidang yang utama:
- Persidangan antarabangsa
- Tahun-tahun antarabangsa dan yang
berkaitan
- Kawalan dan pelucutan senjata
- Penjagan keamanan
- Hak asasi manusia
- Bantuan kemanusian dan perkembangan
antarabangsa
- Persetiaan dan undang-undang antarabangsa.
Persidangan antarabangsa
Ahli-ahli untuk PBB dan agensi-agensi khususnya memberi
panduan dan membuat keputusan tentang pelbagai persoalan substantif dan pentadbiran dalam mesyuarat biasanya yang diadakan
sepanjang tahun. Jika terdapatnya persoalan yang dianggap amat mustahak, Perhimpunan Agung akan memulakan persidangan antarabangsa
untuk menumpukan perhatian sejagat dan memperoleh sepersetujuan untuk tindakan yang disatukan. Contoh-contoh terkini termasuk:
- "Persidangan Dunia mengenai Kecekapan
Perdagangan" yang diadakan pada Oktober 1994 di Columbus, Ohio: Ia menumpukan perhatian kepada penggunaan teknologi matlumat moden untuk memperkembangkan perdagangan
antarabangsa;
- "Persidangan Dunia mengenai Pembangunan
Sosial" yang diadakan di Copenhagen, Denmark pada Mac 1995: Persidangan ini menegaskan tanggungjawab negara terhadap pembangunan boleh kekal serta
pelaburan dalam rancangan-rancangan pendidikan, penjagaan kesihatan, dan peluang ekonomi untuk kesemua orang.
- "Persidangan Dunia Keempat tentang
Wanita" yang diadakan di Beijing, China, pada September 1995;
- "Persidangan PBB Kedua tentang
Petempatan Manusia" (Habitat II), yang diadakan di Istanbul, Turkey pada Jun 1996.
Tahun-tahun Antarabangsa
dan yang berkaitan
Rencana
utama: Tahun-tahun Antarabangsa PBB
PBB mengisytiharkan dan menyelaraskan "Tahun Antarabangsa
untuk ..." supaya dapat menumpukan perhatian kepada persoalan-persoalan yang utama. Melalui perlambangan PBB, logo yang direka
bentus khas untuk tahun itu, serta infrakstruktur sistem PBB untuk menyelaraskan peristiwa-peristiwa di seluruh dunia, pelbagai
tahun itu telah menjadi faktor mangkin untuk memajukan persoalan-persoalan utama pada skala sejagat.
Kawalan senjata dan
pelucutan senjata
PBB telah menubuhkan berbagai-bagai forum untuk menujukan
persoalan-persoalan pelucutan senjata berbilang hala. Forum-forum yang utama termasuk "Jawatankuasa Pertama Perhimpunan Agung"
dan "Suruhanjaya Pelucutan Senjata PBB". Perkara-perkara dalam agendanya merangkumi pertimbangan kebaikan dan keburukannya
terhadap pengharaman ujian nuklear, kawalan senjata angkasa lepas, usaha untuk mengharamkan senjata kimia, pelucutan senjata nuklear dan senjata biasa, pengurangan peruntukan tentera, serta langkah-langkah untuk
mengukuhkan keselamatan antarabangsa.
Penjagaan keamanan
Pengaman-pengaman PBB dihantar ke kawasan-kawasan di mana
pertikaian bersenjata baru-baru sahaja tamat, supaya dapat menguatkuasakan syarat-syarat persetujuan keamanan serta untuk
tidak menggalakkan askar-askar daripada memulakan pertempuran, umpamanya di Timor Timur sehingga kemerdekaannya pada tahun 2001. Pasukan-pasukan ini dibekalkan oleh ahli-ahli negara PBB. PBB
tidak mempunyai sebarang tentera sendiri. Kesemua operasi penjagaan keamanan harus diluluskan oleh Majlis Keselamatan.
Pasukan-pasukan pengaman PBB menerima "Hadiah Nobel untuk Keamanan" pada tahun 1988. Pada tahun 2001, PBB dan Setiausaha Jeneral Kofi Annan memenangi Hadiah Keamanan Nobel
"kerana usaha-usaha mereka untuk mencapai dunia yang lebih teratur dan lebih aman."
PBB mengekalkan siri Pingkat PBB yang dianugerahkan kepada ahli-ahli perkhidmatan tentera yang menguatkuasakan persetujuan PBB. Pingatnya
yang sulung ialah Pingkat Perkhidmatan PBB yang dianugerahkan kepada angkatan PBB yang menyertai Perang Korea. Pingat NATO direka bentuk melalui konsep yang serupa dan kedua-duanya dianggap sebagai pingat antarabangsa dan bukannya
pingat tentera.
Hak asasi manusia
Perjuangan untuk hak-hak asasi manusia merupakan alasan yang utama untuk mencipta PBB. Kekejaman Perang Dunia II dan pembunuhan kaum telah menyebabkan sepersetujuan serta-merta bahawa pertubuhan baru harus berusaha untuk mencegah nahas
yang serupa pada masa akan datang.
Piagam PBB memerlukan kesemua ahli-ahli negaranya mempromosikan
"rasa hormat sejagat ke atas dan pematuhan kepada hak asasi manusia" serta mengambil "tindakan bersama dan berasingan" untuk
mencapainya. Suruhanjaya mengenai Hak Asasi Manusia PBB, di bawah ECOSOC, merupakan badan PBB yang utama untuk mempromosikan hak asasi manusia, khususnya melalui penyiasatan
dan pemberian bantuan teknikal. Contoh yang baik ialah sokongan PBB kepada negara-negara yang hendak berubah kepada sistem
demokrasi. Bantuan teknikal untuk menyediakan pilihan raya yang bebas dan adil, perbaikan struktur kehakiman, bantuan
mendraf perlembagaan, latihan untuk pegawai-pegawai hak asasi manusia, serta pengubahan gerakan-gerakan bersenjata menjadi
parti-parti politik nyata sekali amat menyumbang kepada proses pendemokrasian di seluruh dunia.
PBB juga merupakan forum yang menyokong hak-hak wanita
untuk penyertaan sepenuhnya dalam bidang politik, ekonomi dan sosial di negara mereka.
Bantuan kemanusian dan
pembangunan antarabangsa
Bersama-sama dengan pertubuhan yang lain, seperti Persatuan Palang Merah, PBB membekalkan makanan, air minuman, tempat perlindungan dan perkhidmatan kemanusian yang lain kepada
penduduk-penduduk yang mengalami kebuluran, terpaksa berpindah akibat perang, atau menderita disebabkan bencana yang lain.
Cabang kemanusiaan PBB yang utama termasuk Program Makanan Dunia (yang membantu memberi makanan kepada lebih daripada 100 juta orang setiap tahun di 80 negara), Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian dengan projeknya di 116 buah negara, serta projek penjagaan keamanan di 24 buah negara. PBB juga terlibat
dalam penyokongan perkembangan ekonomi, umpamanya perumusan Matlamat-matlamat Perkembangan Milenium. Program Pembangunan PBB (UNDP) merupakan sumber berbilang hala untuk tabung bantuan teknikal di dalam dunia. Pertubuhan seperti
Pertubuhan Kesihatan Sedunia, UNAIDS dan Tabung Dunia untuk Membasmi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria ialah institusi-institusi yang utama dalam pembasmian penyakit AIDS di seluruh dunia, khususnya di negara-negara
yang miskin. Tabung Kependudukan PBB yang merupakan pembekal utama untuk perkhidmatan pembiakan telah membantu mengurangkan kematian bayi
dan maternal di 100 negara.
PBB telah membantu menjalankan pilihan raya di negara-negara
yang tidak mempunyai banyak sejarah demokrasi, termasuknya pada masa kebelakangan ini, Afghanistan dan Timor Timur. Ia juga menjalankan tribunal jenayah antarabangsa, termasuknya Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda (ICTR) dan bekas Yugoslavia (ICTY), serta Mahkahmah Khas untuk Sierra Leone, dan Mahkamah Ad Hoc untuk Timor Timur.
Pada 9 Mac 2006 Setiausaha Jeneral Kofi Annan melancarkan Tabung Gerak Balas Kecemasan Pusat (CERF) untuk mereka di Tanduk Afrika yang diancam oleh kebuluran.[1]
Persetiaan dan undang-undang
antarabangsa
PBB merundingkan persetiaan seperti [Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut]] untuk mengelakkan kemungkinan pertikaian antarabangsa.
Pertikaian mengenai penggunaan lautan dihakimi oleh mahkamah khas.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang merupakan mahkamah PBB yang utama bertujuan untuk menghakimi pertikaian-pertikaian di antara
negara-negara. Kes-kes terutama yang dihakiminya termasuk:
- Congo lawan Perancis: Republik
Demokratik Congo menuduh Perancis kerana menyalahi undang-undang disebabkan penahanan bekas ketua-ketua negaranya yang telah
dituduh untuk jenayah-jenayah perang;
- Nicaragua lawan Amerika Syarikat:
Nicagarua menuduh Amerika Syarikat kerana mempersenjatai Contra secara haram (kes ini menyebabkan peristiwa Iran-Contra).
Pembiayaan
Kompleks Pusat
Antarabangsa Vienna di Austria. Pejabat-pejabat PBB mengambil sebahagian besar daripada kompleks ini.
Sistem PBB dibiayai dengan dua cara, iaitu sumbangan taksiran
dan sumbangan suka rela daripada ahli-ahli negara. Perhimpunan Agung meluluskan peruntukan yang biasa dan menentukan taksiran
untuk setiap ahli. Secara umumnya, taksiran ini berdasarkan keupayaan relatif setiap negara, sebagaimana yang diukur oleh
statistik pendapatan negara, bersama-sama dengan faktor-faktor yang lain. Peruntukan setiap dua tahun untuk PBB dan agensi-agensi
khasnya dibiayai oleh sumbangan taksiran.
Perhimpunan Agung telah mewujudkan prinsip bahawa PBB harus
tidak terlalu bergantung kepada mana-mana satu ahli dalam pembiayaan operasinya. Oleh itu, PBB mengenakan had maksimum untuk
sumbangan taksiran bagi peruntukan biasa. Pada Disember 2000, Perhimpunan menyemak semula skala taksirannya untuk membayangkan
keadaan dunia yang terkini. Antara perubahan daripada penyemakan itu, had maksimum diturunkan daripada 25% ke 22%. Amerika
Syarikat merupakan ahli yang tunggal yang mencapai had maksimum ini, tetapi ia masih menunggak bayaran sebanyak beratus-ratus
juta dolar (sila lihat: Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Di bawah skala taksiran yang diamalkan pada tahun 2000, penyumbang-penyumbang utama (selain Amerika
Syarikat) untuk peruntukan PBB yang biasa bagi tahun 2001 adalah seperti berikut: Jepun (19.63%), Jerman (9.82%), Perancis (6.50%), United Kingdom (5.57%), Itali (5.09%), Kanada (2.57%), Sepanyol (2.53%), dan Brazil (2.39%).
Rancangan-rancangan untuk agensi-agensi PBB yang khas (seperti
UNICEF, UNDP, UNHCR, dan WFP) tidak termasuk dalam peruntukan biasa, dan dibiayai secara suka rela oleh kerajaan ahli-ahli. Sehingga
tahun 2001, sumbangan ini daripada Amerika Syarikat sahaja dianggarkan berhampiran AS$1.5 bilion pada jumlahnya. Sebahagian
daripada ini adalah dalam bentuk barangan pertanian yang diderma kepada penduduk-penduduk yang menderita, tetapi sebahagian
besarnya masih merupakan sumbangan dalam bentuk wang.
Kritikan dan perbalahan
Rencana
utama: Kritikan dan perbalahan PBB
Membuat reformasi pada
PBB
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, terdapatnya banyak seruan
untuk membuat reformasi pada PBB. Tuduhan pada tahun 2004 dan 2005 mengenai salah pengurusan dan rasuah mengenai Program Minyak untuk Makanan untuk Iraq di bawah Saddam Hussein telah menyebabkan seruan yang baru untuk reformasi.
Sebuah rancangan reformasi yang rasmi telah dimulakan oleh
Setiausaha Jeneral PBB, Kofi Annan tidak lama selepas beliau memegang jawatan itu pada 1 Januari 1997. Reformasi yang telah dikemukakan termasuk:
- penukaran keahlian tetap untuk
Majlis Keselamatan (yang kini membayangkan hubungan kuasa 1945);
- menjadikan birokrasi lebih nyata,
bertanggungjawab dan cekap;
- menjadikan PBB bersikap lebih
demokratik; dan
- mengenakan tarif antarabangsa
terhadap semua pengilang senjata di seluruh dunia.
Kegagalan dalam isu-isu
keselamatan
Walaupun PBB menumpukan sebahagian besar daripada usaha-usahanya
dalam bidang keamanan dan keselamatan, dalam banyak kes, ahli-ahli PBB telah menunjukkan keberatan untuk mencapai ataupun
menguatkuasakan ketetapan-ketetapan Majlis Keselamatan. Pada 2003, Amerika Syarikat mengetuai serangan terhadap Iraq di tengah-tengah
rasa tidak setuju yang kuat antara kebanyakan ahli-ahli PBB. Untuk hampir sedekad, Israel menentang ketetapan yang memerlukannya
menghapuskan petempatan-petempatan di Tebing Barat dan Gaza. Kegagalan-kegagalan ini berpunca daripada sifat antara kerajaan PBB — dalam banyak hal, ia merupakan
persatuan yang terdiri daripada 191 ahli negara yang harus mencapai sepersetujuan, dan bukannya sebuah pertubuhan yang bebas.
Walaupun tindakan-tindakan telah diberikan mandat oleh Majlis Keselamatan, Sekretariat jarang diberikan sumber-sumber yang
mencukupi untuk melaksanakannya.
Penganiayaan seks oleh
pengaman-pengaman
Telah dilaporkan bahawa pengaman-pengaman daripada beberapa
negara telah menganiayai dan bergilir-gilir merogol kanak-kanak perempuan semuda umur 12 di Republik Demokratik Congo. Penganiayaan
ini dilaporkan telah berlaku secara meluas dan masih berlaku walaupun terdapatnya banyak pendedahan dan penyiasatan oleh "Pejabat
Perkhidmatan Kealpaan Dalaman PBB". [2][3]
Penyiasatan dalaman PBB pada tahun 2005 mendapati bahawa
penganiayaan seks yang serupa juga telah dilaporkan di lima negara yang lain di mana pengaman-pengaman PBB telah diatur kedudukan,
termasuknya Burundi, Ivory Coast, dan Liberia. [4]
Keahlian jawatankuasa
Pemasukan Sudan dan Libya yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang tidak terhingga ke dalam Suruhanjaya PBB untuk Hak Asasi Manusia, dan pelantikan Libya sebagai pengerusi Suruhanjaya ini telah menjadi satu perbalahan. Bagaimanapun,
negara-negara itu memperdebatkan bahawa negara-negara Barat, dengan sejarah keganasan dan kekejaman penjajahan, tidak ada
hak untuk berdebat tentang keahlian Suruhanjaya ini.
Skandal Minyak untuk
Makanan
Program "Minyak untuk Makanan" diwujudkan oleh PBB pada
tahun 1996 untuk membenarkan Iraq menjual minyaknya kepada pasaran dunia sebagai tukaran untuk keperluan kemanusiaan untuk
rakyat Iraq, tanpa membenarkan kerajaan Iraq membina semula tenteranya selepas Perang Teluk pertama.
Bagaimanapun, rancangan itu telah ditamatkan pada lewat
2003 di tengah-tengah tuduhan penyalahgunaan dan rasuah. Bekas Pengarah Benon Sevan dari Cyprus meletakkan jawatan sewaktu Interim Report.pdf laporan kemajuan interim daripada penyiasatan PBB menyimpulkan bahawa Sevan telah menerima rasuah daripada rejim Iraq.[5]
Juga terlibat dalam skandal itu ialah Kojo Annan, anak lelaki kepada Kofi Annan, yang telah dikatakan mendapat kontrak "Minyak untuk Makanan" PBB untuk Coctecna, sebuah syarikat Switzerland. Menteri Luar Negeri India juga telah dipecat kerana peranananya dalam skandal ini.
Senarai badan-badan
PBB yang lain
Badan-badan lain yang merupakan agensi khas dalam PBB,
walaupun tidak dinyatakan dalam piagamnya ialah :
- Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO)
- Bank Antarabangsa untuk Pemulihan dan Pembangunan (IRBD) (termasuk Perbadanan Kewangan Antarabangsa dan Persatuan Pembangunan Antarabangsa)
- Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)
- Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)
- Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO)
- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
- Kesatuan Telekom Antarabangsa (ITU)
- Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF)
- Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO)
- Kesatuan Pos Sedunia (UPU)
- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
- Pertubuhan Harta Intelektual Sedunia (WIPO)
- Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).
Agensi-agensi sementara termasuk:
- Pentadbiran Bantuan dan Pemulihan
PBB (UNRRA)
- Pertubuhan Pelarian Antarabangsa
(IRO) (tanggungjawabnya kemudian diambil alih oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian) (UNHCR)
- Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk
Pelarian Palestin di Timur Tengah.
|