JALYHELENA PRODUCTION

Home | PBBersatu | BM2 | my profile | MY MUSIC | SMPO | STPM boyz | MERDEKA 06 | SUKAN 2006 | MUSIC IS LIFE | SMAI TPHR | Pulau 3
BM2

Enter subhead content here

  • Mengapa kerajaan melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris?

    Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris kerana:

    • Sains dan matematik adalah bidang ilmu yang sangat dinamik dan penyumbang kepada pembangunan negara.

    • Sebahagian besar maklumat terkini mengenai bidang ini terdapat dalam bahasa Inggeris.

    • Pendedahan awal kepada bahasa Inggeris memberi peluang mengakses maklumat.

  • Bilakah Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Ingeeris?

Mulai tahun 2003

  • Bagaimanakah cara pelaksanaannya?

    Cara pelaksanaan ialah seperti yang berikut :

    • Pada tahun 2003, pengajaran secara dalam bahasa Inggeris akan dilaksanakan di:

      • Tahun 1 di semua sekolah rendah (SK, SRJKT, SRJKC) dan sekolah pendidikan khas (SPK)

      • Tingkatan 1 di semua sekolah menengah kebangsaan (SMK)

      • Tingkatan 6 Rendah di semua sekolah menengah kebangsaan (SMK)

      • Pada tahun 2004, pengajaran secara sepenuhnya dalam bahasa Inggeris akan dilaksanakan di Program Matrikulasi

      • Pada tahun 2008, pengajaran secara sepenuhnya dalam bahasa Inggeris akan dilaksanakan di Politeknik.

      • Pada tahun 2003 juga pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris secara separa dilaksanakan di Tahun 2, Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 2, Tingkatan 3, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6 Atas, Program Matrikulasi dan Politeknik.

  • Apakah maksud pengajaran secara separa?

    Guru memilih tajuk-tajuk tertentu untuk diajar dalam bahasa Inggeris bergantung kepada kemampuan guru dan murid.

  • Apakah bahan yang akan disediakan untuk guru dan murid?

    Untuk guru :

    • Sukatan Pelajaran (SP) yang telah diubahsuai.

    • Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) yang memperincikan kurikulum.

  • Untuk murid :

    • Buku teks

    • Bahan-bahan multimedia

    • Lembaran aktiviti murid

  • Apakah sokongan lain yang disediakan?

    Untuk mempermudahkan penyampaian pelajaran, bahan-bahan yang berikut juga disediakan untuk guru :

    • Kemudahan teknologi maklumat iaitu komputer, perkakasan komputer dan perisian.

    • Perkakasan multimedia seperti projektor LCD dan skrin.

    • Rancangan TV pendidikan dalam bahasa Inggeris.

  • Bagaimana kerajaan membantu guru yang kurang yakin berbahasa Inggeris?

    • Guru akan diberi kursus intensif bahasa Inggeris sebelum pelaksanaan.

    • Seterusnya, guru boleh mengikuti modul atau latihan secara maya melalui Internet secara berterusan.

    • Guru dibekalkan dengan glosari dan skrip pelajaran untuk digunakan jika perlu.

  • Bagaimana pula dengan peperiksaan?

    • Murid akan dibiasakan dengan soalan peperiksaan dalam dwibahasa (bahasa Inggeris dan bahasa pengantar) mulai tahun 2003 hingga tahun 2007.

    • Dalam tempoh transisi ini, murid boleh memilih untuk menjawab dalam mana-mana bahasa (bahasa Inggeris dan bahasa pengantar), sebahagian atau sepenuhnya.

    • Semua murid Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) dan Sekolah Menengah akan diberi soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan dikehendaki menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya mulai tahun seperti berikut:

      - UPSR - Tahun 2008
      - PMR - Tahun 2008
      - SPM - Tahun 2008
      - STPM dan Matrikulasi - Tahun 2008

    • Pengumuman penggunaan bahasa dalam peperiksaan UPSR 2008 untuk SJK Cina akan diumumkan pada satu masa yang belum ditetapkan.

  • Mungkinkah kedudukan Bahasa Melayu berubah?

    • Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa penghantar utama dalam sistem persekolahan seperti yang termaktub di dalam Akta Pendidikan Kebangsaan (1996).

  • Apakah tanggungjawab komuniti dalam hal ini?
    • Komuniti perlu memberi kerjasama dan penglibatan sepenuhnya kepada pihak sekolah.

    • Ibu bapa juga perlu memberi galakan dan keyakinan kepada anak-anak mereka.

  • Apakah yang diharapkan dengan pelaksanaan dasar ini?

    Melahirkan golongan teknokrat yang boleh :

    • menyumbang kepada pembangunan negara.

    • berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

BAHASA INGGERIS UNTUK PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK:

PANDANGAN DAN SIKAP RAKYAT PERLU DIHORMATI

Barisan Alternatif (BA) bersetuju dengan sebahagian besar rakyat negara ini yang berpendapat bahawa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat merupakan sesuatu yang baik dan perlu untuk menangani globalisasi. Dalam sistem pendidikan negara memang terdapat kemudahan untuk memungkinkan rakyat menguasai bahasa tersebut dengan baik.

Jika terdapat tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tidak memuaskan, maka kerajaan haruslah menerima tanggungjawab sepenuhnya di atas tersebut. Kementerian Pendidikan harus membuat kajian terperinci dan menyeluruh terhadap kegagalan tersebut dan mengemukakan cadangan untuk mengatasinya.

Kementerian Pendidikan perlulah memikirkan cara-cara memantapkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan. Antara yang perlu dikaji dan didalami ialah keberkesanan kaedah pengajaran Bahasa Ingerís yang dilaksanakan ini. Kajian tersebut perla meliputi aspek-aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan suasana pengajaran yang sesuai. Pendekatan tergesa-gesa seperti mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan krisis penguasaan Bahasa Inggeris yang dihadapi sekarang.

BA menegaskan bahawa dasar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan tidak boleh digugat. Kami menyokong langkah-langkah dan bantahan yang telah disuarakan oleh cendekiawan dan saintis pelbagai kaum yang membantah langkah menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Langkah ini akan mempunyai dua kesan: pertama; menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan menjejaskan pembinaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Kedua; menjejaskan penguasaan pelajar-pelajar di aliran Kebangsaan dan Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil dan Cina terhadap matapelajaran Sains dan Matematik.

BA juga prihatin terhadap implikasi langkah baru kerajaan terhadap hak pendidikan dalam bahasa ibunda. Penukaran bahasa pengantar untuk matapelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa ibunda kepada Bahasa Ingerís akan menghakis hak tersebut disamping menjejaskan keberkesanan pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik di SRJK Tamil dan Cina.

Kami ingin mengulangi sokongan kami terhadap sikap pelbagai badan bahasa, sastera, sains, kebudayaan dan pendidikan yang telah membantah langkah kerajaan untuk melaksanakan dasar ini secara tergesa-gesa. Kami juga ingin menegaskan bahawa bantahan tersebut disuarakan oleh masyarakat pelbagai kaum.

Kami berpendapat bahawa cadangan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak akan memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat. Kajian dan pengalaman pelbagai masyarakat di dunia telah membuktikan bahawa langkah memaksa para pelajar mempelajari sebahagian mata pelajaran dalam satu bahasa dan mata pelajaran lain dalam bahasa yang lain hanya akan mengelirukan para pelajar dan akan menjejas penguasaan mereka terhadap kedua-dua bahasa tersebut.

Oleh kerana langkah ini dilakukan dengan tergesa-gesa, kami yakin bahawa kerajaan tidak akan mampu menyediakan kemudahan-kemudahan yang secukupnya dari segi latihan guru dan penyediaan buku teks dengan baik lagi teratur. Oleh demikian pelaksanaan dasar tersebut sudah pasti akan menyebabkan kadar kegagalan dan krisis pemahaman di kalangan pelajar.

BA juga membantah sekeras-kerasnya sikap serta ugutan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk menggunakan ISA terhadap mereka yang dituduhnya sebagai "ekstremis" yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Sikap PM itu bukan sahaja tidak adil dan tidak demokratik, tetapi juga telah menodai hak rakyat untuk bersuara mengemukakan pandangan atau bantahan terhadap dasar pemerintah. Dalam isu ini, bantahan sebenarnya tidak sekadar dikemukakan oleh individu, pertubuhan dan akhbar Tionghua sahaja. Bahkan bantahan juga telah dikemukakan oleh pelbagai golongan Melayu yang menganggapnya sebagai mengancam kedudukan dan peranan Bahasa Melayu dalam pendidikan nasional, selain menimbulkan masalah besar kepada para pelajar kawasan desa dan mundur. Badan-badan bahasa dan pendidikan Tamil juga turut menyatakan kebimbangan dan bantahan mereka.

Dr Mahathir dengan sengaja cuba memberikan gambaran seolah-olah penentangan hanya timbul dari kalangan masyarakat Tionghua. Beberapa tokoh seperti Sim Mou Yew dan beberapa badan seperti Dong Jiao Zong dan beberapa akhbar telah dituduh secara khusus sebagai ekstremis. Jelas kelihatan di sini niat jahat untuk memburukkan sesuatu kaum dan mencuba mendapat simpati kaum yang lain - suatu percubaan jahat untuk melaga-lagakan pelbagai kelompok kaum dengan memanipulasi langkah politik yang sebenarnya telah ditolak oleh semua kaum di negara ini.

BA menyeru kerajaan supaya bersikap terbuka dan demokratis menerima pandangan pelbagai pihak dalam menangani isu ini. Kami juga menggesa supaya kerajaan membatalkan hasrat untuk melaksanakan secara tergesa-gesa menukarkan bahasa pengajaran Sains dan Matematik kepada Bahasa Inggeris dan mengkaji secara saintifik, teliti lagi mendalam kaedah yang paling baik dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

Sains, Matematik, bahasa Inggeris: Anak murid ‘terkorban’
Masali


Pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah bagi matapelajaran Sains dan Matematik sudah menjangkau tahun ketiga. Banyak sudah maklumbalas yang kita terima sama ada positif atau sebaliknya.

Bagi pihak berkuasa, terutama Kementerian Pelajaran, P&P berbahasa Inggeris menampakkan peningkatan dan murid-murid tidak banyak menghadapi masalah. Kepada sebahagian besar ibu bapa, terutama di luar bandar, keadaan ini membimbangkan mereka.

Kebimbangan ini disebabkan ada ibu bapa tidak dapat membantu menyemak dan mengajar anak-anak mereka kerana mereka sendiri tidak arif tentang mata pelajaran tersebut.

Mereka amat ingin sekali membantu tetapi tidak berupaya. Bagi yang berkemampuan, mereka akan menghantar anak-anak ke pusat tuisyen, itupun jika ada di tempat mereka. Sekiranya tiada, maka terpaksalah si anak belajar sendiri bergantung kepada teks wajib dan bimbingan guru.

Hal yang sama mungkin dihadapi oleh murid di SRJK (Cina/Tamil) dan SMK (Cina) yang juga dikehendaki menggunakankan bahasa Inggeris bagi P&P mata pelajaran Sains dan Matematik.

Untuk melihat lebih jelas senario P&P berbahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah, ada baiknya saya lampirkan kebimbangan salah seorang guru yang menamakan dirinya Cikgu Komando yang terlibat dengan P&P Sains.

Katanya: Polemik mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik amat merisaukan semua pihak, termasuk para guru dan ibu bapa. Sebagai seorang guru yang terlibat mengajar sains tingkatan satu, saya ingin memberikan pandangan terperinci berdasarkan pemeriksaan terhadap mutu jawapan pelajar dalam kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah luar bandar.

Untuk makluman, saya juga adalah salah seorang pemeriksa kertas bagi Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Terdapat tiga kategori pelajar sebenarnya. Yang pertama; memang mahir dalam Bahasa Inggeris dan mahir konsep sains. Yang kedua: mahir konsep sains tetapi lemah Bahasa Inggeris ataupun mahir Bahasa Inggeris tetapi lemah konsep sains. Yang ketiga dan dominan: konsep sains lemah dan Bahasa Inggeris pun lemah.

Saya tidaklah mempunyai kaedah canggih, laporan tesis dan penyelidikan peringkat tinggi untuk membuktikannya, seperti pihak kementerian Pendidikan; tetapi sekadar jujur dan ikhlas menyatakan yang benar dan tersurat berdasarkan pengalaman mengajar (tidak hanya duduk dalam pejabat dan melemparkan dasar dan pelbagai rumusan pendidikan untuk memuaskan hati orang atasan).

Saya sukar untuk merumuskan kelemahan pelajar dari segi konsep sains mahupun bahasa kerana keadaan ini menjadi lebih parah dengan perlaksanaan bahasa asing. Ini terbukti dalam banyak ujian Kertas 2 sains yang dijalankan di sekolah:

a) Kebanyakan pelajar tidak mampu memahami arahan dan kehendak soalan. Jawapan mereka memang entah apa-apa. Soalan lain jawabnya lain.

b) Pelajar tidak mampu menghuraikan jawapan sepertimana yang dikehendaki dalam skema jawapan. Hanya yang betul-betul cerdik (kategori pertama) mampu.

c) Banyak ruang jawapan kosong (tak boleh jawab langsung)

Apakah sebenarnya yang sedang kita lakukan kepada anak bangsa kita? Wajarkah masa depan mereka dieksperimenkan hanya untuk memastikan satu hipotesis iaitu ‘pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mampu meningkatkan mutu pencapaian Bahasa Inggeris’ boleh diterima atau tidak?

Kalau kita menunggu kejayaan anak didik pertama hasil dasar ini pada 2008, wajarkah kita meminggirkan ketidaktentuan yang berlaku pada anak-anak didik dari tahun 2002-2008? Mereka dijadikan bahan eksperimen dengan keputusan ujian dan peperiksaan yang menyedihkan.

Siapa yang akan menanggung risiko daripada perubahan dasar ini? Pembuat dasar? Ibu bapa? Guru-guru? Atau murid-murid itu sendir i…?

Bagaimanakah perasaan ibu bapa yang anak anak mereka dilaburkan untuk ‘dileburkan’ oleh dasar ini. Apakah semua saintis, para doktor, jurutera dan ilmuwan Melayu masakini semuanya lahir hanya pada zaman bila sains dan matematik diajar dalam Bahasa Inggeris?

Saya tidaklah terlalu fanatik dalam soal bahasa Melayu, cuma sekadar memikirkan kesan dan implikasi perlaksanaan dasar ini sekarang yang sedang membarah di kalangan anak-anak kita.

Pergilah ke sekolah dan ambillah keputusan subjek Sains dan Matematik untuk dikaji kembali secara menyeluruh. Janganlah hanya ke sekolah di bandar dan sekolah terkemuka untuk melaksanakan kajian.

Berlaku jujurlah. Semua ibu bapa yang menatap tulisan ini juga tahu mengenai prestasi anak mereka masing-masing dalam subjek ini.

Biarlah kerugian wang berjuta-juta ini dihentikan sekarang demi memastikan anak-anak masakini dan akan datang, terbela.Yang sudah tu sudahlah..Jangan biarkan sampai lebih ramai lagi yang menjadi ‘korban’ kerana perlaksanaan terburu-buru ini.

LIFE PRODUCTION LIVE PRODUCTION LIFE PRODUCTION LIVE PRODUCTION LIFE PRODUCTION...